Rabu, 16 Disember 2009

MAAL HIJRAH 1431




Hikmah membaca doa akhir tahun Hijrah adalah kita memperingati amalan-amalan pada tahun lalu; sama ada yang amalan yang membawa kebaikan mahupun amalan yang membawa kepada dosa dan lalu meminta ampun atas kesalahan-kesalahan serta meminta perlindungan Allah swt. daripada kejahatan syaitan...

Manakala hikmah membaca doa awal tahun Hijrah pula adalah kita memperbaharui azam untuk melakukan kebaikan dan meminta kekuatan dan hidayah untuk melaksanakannya


DOA AKHIR TAHUN HIJRAH 1430

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, telah berlalu setahun dalam hidup kami. Sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kami nikmat-Mu yang tidak dapat kami menjangkau kehebatannya. Engkau telah memelihara kami daripada keburukan yang tidak mampu kami menolaknya. Kami telah melakukan dalam tahun tersebut perbuatan dan amalan yang Engkau Maha mengetahui baik dan buruknya.

Ya Allah, sekiranya amalan tersebut bersesuain dengan ketetapan-Mu, terimalah dan catatkannya sebagai amalan soleh kami di sisi-Mu. Dan sekiranya amalan tersebut berbaur dengan sifat riya', ujub, dan menunjuk-nunjuk atau kami lakukan perilaku dosa, kesalahan dan keinginan yang buruk, maka kami pohon pengampunan-Mu dan tutupilah segala keaiban dan kesalahan. Kurniakanlah ke atas kami kelebihan dan keluasan sifat pemurah-Mu. Itulah kemuncak permintaan dan doa kami.

Ya Allah, sesungguhnya telah datang kepada kami tahun baru setelah kami meninggalkan tahun ini sebentar nanti, kami tidak tahu apakah yang terkandung dalam pengetahuan-Mu mengenai diri kami. Kami jahil ke mana arahnya penghidupan kami di alam maya ini. Harapan kami agar Engkau membuka lembaran tahun baru ini pintu taubat yang jujur dan tulus untuk kami, yang tidak berakhir dengan kekufuran dan kesesatan. Dan Engkau kurniakan taufiq kepada kami pada tahun ini untuk melakukan amalan-amalan soleh yang Engkau redai, kehidupan yang murni yang Engkau rahmati.

Ya Allah, peliharalah anggota kami agar melakukan ketaatan kepada-Mu. Peliharalah hati kami agar dipenuhi dengan kecintaan. Lapangkan hati kami agar dapat kami mendekati-Mu seperti mana Engkau telah lapangkan hati hamba-hamba-Mu yang soleh. Jadikan kami di antara orang-orang yang menepati janji dalam menjalankan hak. Jadikan kehidupan kami sebagai saksi yang benar terhadap setiap amalan seperti mana yang Engkau syariatkan kepada kami, Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penganugerah

DOA AWAL TAHUN HIJRAH 1431

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, kami menadah tangan kepada-Mu pada waktu malam dan siang dalam keadaan kami bertawassul dengan nama-nama Mu, dalam keadaan kami mengharapkan gedung rahmat yang sarat di samping Mu. Dan dalam keadaan kami cinta sesungguhnya kepada-Mu dan cinta apa yang menghiasi kebesaran-Mu.

Ya Allah, Ya Rabbul Jalil. Dengan sunnah-Mu menjelang kini tahun baru yang telah Engkau tentukan mengikut qada dan qadar di Loh Mahfuz-Mu. Kami meredahnya di bawah Iradah dan Qudrat-Mu. Sebagai makhluk-Mu yang sentiasa mencari keredaan-Mu. Kehadiran tahun baru ini, memungkinkan kami menadah tangan memohon rahman-Mu, kami pertautkan permohonan kami sekental-kentalnya kepada Mu. Kami mengharap perdampingan taufik dan hidayah-Mu yang telah Engkau berikan kepada kami pada masa-masa yang lalu sepanjang usia kami. Engkau sempurnakan perlindungan dan pemberian-Mu yang begitu melimpah kepada kami. Jadikanlah diri kami, hati kami serta seluruh anggota badan kami jati kekuatan, sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Supaya kekuatan ini dapat kami gunakannya sebagai pelindung daripada segala kemungkaran, sama ada yang zahir atau yang batin. Dan dengannya kami dapat kelapangan pemikiran, keindahan kehidupan, kekuatan dalam keyakinan, ketetapan dalam pegangan agama, dan kebaikan untuk diri kami dan orang-orang sekitar kami.

Ya Allah, hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami. Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaan-Mu yang dapat melindung kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerunsingan. Ya Allah, rahmatilah permintaan kami, terimalah kepasrahan diri kami kepada-Mu, Wahai Penolong hamba yang meminta pertolongan, tolonglah kami. Wahai Pencegah kemusnahan, hindarilah kami dari kemusnahan dan keporak-perandaan. Ya Rahman Ya Rahim! Jadikanlah lipatan tahun baru ini pembuka bagi kejayaan, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum Muslimin keseluruhannya memelihara agama-Mu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmat-Mu sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerunsingan. Ya Allah, kekalkanlah tahun-tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagian dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami kenikmatan yang ada padanya. Ya Allah, jadikanlah tahun yang akan datang, semulia-mulia tahun yang Engkau berkati ke atas kami. Jadikanlah kami orang yang paling bahagia bersama-Mu. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami. Wassallalahu Ala Sayyidina Muhammad wa Ala Aalihi wa Sahbihi Wassalam

Sabtu, 12 Disember 2009

JOM MAKAN SATE


Jika ingin makan atau tempah sate yang enak rasanya kat sekitar Endau, Mersing, Tanjung Gemok dan Rompin bolehlah datang kat kedai ZAINUDDIN ALI dan isterinya. Aku dan keluarga sering membeli dan menempah sate Encik Zainuddin Ali dan isterinya Ana. Harga satenya adalah berpatutan dan boleh dirunding. Semoga jualan sate Zai dan Ana bertambah-tambah.
*
*
Nama Pengusaha Sate: Zai dan Ana
Telefon : 019-7098472 atau 019-9098872
Alamat : Felda Endau, Johor
Lokasi Kedai : Batu 1, Jalan Endau Mersing,
(Berhampiran Batu Pecah)


REZEKI UNTUK SECOND GENERATION FELDA ENDAU



"Durian Runtuh", Rezeki Datang Bergolek", "Bonus" dan apa-apa saja lah yang dapat kita istilahkan kepada beberapa orang anak peneroka atau yang berkaitan dengannya yang telah mendapat keuntungan yang mungkin orang lain tidak dapat. Yang dah dapat pemberian tanah tapak rumah janganlah bertangguh lagi ayuh kita bina rumah yang cantik untuk anak-anak kita. Syukur kepada Yang Berkuasa kerana memberi rezeki kepada kita.

Ahad, 6 Disember 2009

Hari Raya Koban Di Kapung Felda Endau




Kita amat gembira melihat banyaknya kaum Muslim yang menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan ternak demi mengharapkan keredaan Allah s.w.t. Kita tanamkan niat murni dan ikhlas ini kerana Allah s.w.t dan usah sekali-kali ia dilakukan untuk lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih daripada itu, berkorban itu biarlah benar-benar selaras dengan tuntutan Rasulullah s.a.w.

Dalam satu riwayat daripada Aisyah, disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya, dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dahulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).

Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban), dan bahawa pada hari Kiamat kelak korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang melakukan korban itu akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak dengan Allah.

Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Maka, salah satu caranya adalah dengan berkorban. Oleh yang demikian itu, maka sewajarnya kita menginsafi kembali akan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ”Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami.” (Riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:

‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” tanya sahabat.

‘‘Itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.

“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat itu lagi.

‘‘Setiap helai bulu haiwan korban itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.

Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia di atas segala nikmat, tentunya Allah tidak akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: ”Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan ke atas Ismail a.s.” (As-Shaffat: 107)

Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim a.s yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan.

Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya, Ismail, selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah s.w.t menguji kekukuhan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup, iaitu pengorbanan jiwa dan raga.

Menurut Imam Syafie, hukum korban adalah sunat muakkad yang amat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia adalah amalan yang amat dikasihi Allah pada hari nahr (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama yang menyatakan ia adalah wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah yang bermaksud: ”Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan berkorbanlah.” (Al-Kauthar: 2)

Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua orang anak Nabi Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat demi mematuhi perintah Allah s.w.t. dan mendekatkan diri kepada-Nya. Manakala anak yang kedua juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh hal yang demikian itu, korban anak yang pertama diterima di sisi Allah s.w.t, manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Habil) menjawab: “Hanyalah Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maidah: 27)

Amalan ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengan-Nya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” (Al-Shaffat: 102)

Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s menyembelih Ismail kemudian membatalkannya dan menebusnya dengan seekor kibasy? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga hanya untuk membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa sahaja bahawa tiada sesuatu yang mahal atau amat bernilai untuk dikorbankan apabila telah tiba panggilan atau seruan Ilahi. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah s.a.w kepada manusia.

Amalan berkorban dalah sebahagian usaha mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah s.w.t dan mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Manakala amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhannya) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban inilah terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ibadah korban adalah memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah s.w.t setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan-syaitan – menjauhkan diri daripada Allah serta mengingkari larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi, yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi haiwan sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.

Berpandukan daripada kisah Habil dan Qabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik (sihat) dan berkualiti, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun hal-hal berkaitan ‘darah’ atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi makna sama sekali untuk Allah kerana Dia adalah Allah Yang Maha Agung, yang tidak memerlukan daripada apa-apa pun.

Dengan korban tersebut diharapkan agar ketakwaan kita kepada Allah semakin meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk-Nya. Oleh hal yang demikian itu, kunci kepada semua amalan baik sama ada amalan sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ”Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Al-Hajj: 37)

Selasa, 1 Disember 2009

JOM KE KAMPUNG FELDAKU


Kita jangan gaduh tapi
jom kita sama-sama majukan kampung yang kita sayangi.
Semua org dalam kampung ada peranan masing-masing.
Ayuh jalankan peranan kita agar matlamat tercapai.
Perbezaan pendapat adalah adat asam garam berorganisasi bagi mencapai kata sepakat.



Rumah Felda Dahulu VS Rumah Felda Sekarang